Sejarah SSBJ

Sekolah Sukan Negara, Bukit Jalil telah ditubuhkan pada 1 Januari 1996. Sekolah ini dibina di atas tapak seluas 5.7 hektar (14 ekar) bertempat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Tapak sekolah ini terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Negara dan bersebelahan dengan Majlis Sukan Negara, Malaysia. Perkataan ‘Negara” dalam nama sekolah kemudian digugurkan kerana kerajaan akan membina beberapa buah sekolah sukan yang lain seperti di negeri Johor dan Sarawak. Sekolah sukan yang pertama dalam sejarah pendidikan di Malaysia ini, dikenali dengan nama Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur.

Projek pembinaan sekolah sukan mendapat kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-6. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi peluang kepada atlet-atlet yang masih di bangku sekolah supaya mendapat latihan yang lebih bersistematik dan menerima pendekatan sukan yang saintifik sepanjang tahun persekolahan mereka. Pemilihan atlet ke SSBJ dibuat melalui pencapaian cemerlang semasa Kejohanan MSSM dan Ujian Pengesanan Bakat serta prestasi yang baik dalam akademik.

Kini, SSBJ menempatkan atlet dari Tingkatan 1 hingga Prauniversiti bagi 28 jenis sukan termasuk 8 sukan teras. Kurikulum akademik masih mengikuti Sukatan Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia dan menduduki peperiksaan PT3 dan SPM. Atlet yang berjaya ke skuad negara atau berpotensi akan diberi peluang mengikuti Program Prauniversiti selepas SPM.

Pengetua SSBJ

1. EN. RAMLI BIN MAIDIN
(1 JAN 1996 – 15 JUN 1996)

2. TUAN HAJI ABDULLAH BIN ALI
(1 DIS 1996 – 31 OKTOBER 1997)

3. EN. AZHARI BIN AWANG MAT
(1 JAN 1998 – 15 APRIL 1999)

4. EN. JALALUDIN BIN HAJI OTHMAN
(16 JUN 1999 – 31 OKTOBER 2004)

5. EN. SAIDIN BIN OSMAN
(1 JAN 2005 – 31JULAI 2007)

6. DATUK CHIN LENG SIM@MARINA CHIN
(1 OGOS 2007 – 5 NOVEMBER 2014)

7. EN. ASMAD BIN AHMAD
(16 DIS 2014 – SEKARANG)